15 sesak nafas hotel terbakar di Danok

SERAMAI 15 rakyat Malaysia mengalami sesak nafas dan dirawat di hospital susulan kebakaran sebuah hotel di Danok, Thailand, hari ini.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkla, Mohd Afandi Abu Bakar berkata, berdasarkan laporan awal, seramai 15 rakyat Malaysia menerima rawatan di hospital susulan kebakaran pada 8 pagi hari ini (7 pagi waktu Thailand).

Beliau berkata, daripada jumlah itu, lapan orang sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan sementara tujuh orang lagi masih dirawat.

“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan membabitkan rakyat Malaysia susulan insiden itu.

“Mereka dirawat di hospital berhampiran selepas mengalami sesak nafas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan, hotel terbabit setinggi enam tingkat dan 60 bilik itu dihuni rakyat Malaysia yang datang bercuti ke negara itu sempena sambutan Songkran.

Sambutan Songkran dirai setiap tahun menandakan sambutan Tahun Baru Tradisional Thailand dan penduduk bergembira meraikannya dengan pesta air dan parti jalanan yang akan berlangsung selama seminggu. – myMetro

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih