9 Sebab Remeh Suami Isteri Bercerai

9 Sebab Remeh Suami Isteri Bercerai. Kuala Lumpur: Badan bau lipas, salah picit ubat gigi, tidak pandai gosok baju selain ‘mulut bau longkang’ antara alasan remeh pasangan suami isteri menuntut cerai.

9 Sebab Remeh Suami Isteri Bercerai

Walaupun ada yang sudah lebih 20 tahun berkahwin, mereka masih gagal mencari titik persefahaman berkaitan hal berkenaan dan menerima kekurangan pasangan masing-masing.

Kaunselor Berdaftar Hushim Salleh berkata, sepanjang enam bulan ini, beliau menerima empat kes berkaitan isu remeh yang membawa kepada pasangan menuntut cerai.

“Pasangan pertama ini mahu berpisah selepas isteri mendakwa badan suaminya berbau lipas dan kerana itu, wanita berkenaan enggan membiarkan dia ‘digauli’ suami sejak empat tahun lalu.

“Akibatnya, lelaki terbabit terpaksa ‘berpuasa’ sepanjang tempoh berkenaan. Pelbagai usaha dilakukan namun si isteri tetap mahu berpisah. Pasangan ini sudah lima tahun berkahwin dan dikurniakan seorang anak,” katanya.

Menurut Hushim, pasangan berusia 30-an ini kini mendapatkan khidmatnya untuk memulihkan hubungan walaupun sudah memfailkan perceraian.

Bagi kes kedua, Hushim berkata, si isteri menuntut cerai kerana bengang dengan sikap suaminya yang kerap memicit ubat gigi sebarangan.

“Wanita berkenaan memicit ubat gigi daripada bawah dan berharap suaminya akan melakukan kaedah sama namun sebaliknya yang berlaku sejak mereka berkahwin enam tahun lalu,” katanya.

Menurut Hushim, wanita itu yang berusia 28 tahun kerap bertengkar dengan suami berumur 29 tahun dan akibat bosan dengan sikap suaminya, dia kemudiannya menuntut cerai.

9 Sebab Remeh Suami Isteri Bercerai

Beliau berkata, pasangan berkenaan juga kini mendapatkan khidmatnya bagi memperbaiki hubungan.

Kes ketiga pula membabitkan sikap seorang eksekutif lelaki yang mahu menceraikan isteri kerana mendakwa wanita berkenaan tidak pandai menggosok baju.

“Wanita itu suri rumah dan sering dimarahi suaminya kerana lelaki berkenaan bukan saja teliti, malah dia mahukan kesempurnaan.

“Pasangan itu berusia 40-an dan dikurniakan tujuh anak. Suami mendakwa, isterinya gagal menggosok baju dengan kemas sebaliknya penuh dengan kesalahan seperti garisan tidak lurus.

“Lelaki terbabit bertegas mahu bercerai namun isterinya memujuk kerana mereka sudah lebih 20 tahun berkahwin selain berjanji akan mencuba untuk memperbaiki kekurangan berkenaan,” katanya.

Bagi kes keempat, Hushim berkata, si isteri menuntut cerai kerana mendakwa mulut suaminya yang dikahwini sejak 10 tahun lalu berbau busuk.

“Wanita itu mengatakan sudah banyak kali menegur suaminya sepanjang tempoh perkahwinan namun lelaki terbabit tidak mengendahkannya sehingga ia membawa kepada bibit perceraian,” katanya.

Hushim berkata, pasangan itu yang dikurniakan dua anak kini dalam proses memulihkan hubungan.

Berkaitan semua kes itu, Hushim berkata, perkara berkenaan sepatutnya tidak berlaku jika pasangan bertindak awal seperti berbincang sesama sendiri secara baik atau bertemu dengan kaunselor berdaftar.

“Perlu ada tolak ansur dalam hubungan suami isteri dan jika pasangan melakukan kesilapan atau kurang sempurna, mereka perlu berbincang untuk memulihkan hubungan dan bukannya memendam rasa sehingga akhirnya membawa kepada bibit perceraian,” katanya. – myMetro

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih