Cepatnya tukar warna cat…

PENIAGA terkejut apabila kereta Honda Civic EK9 miliknya yang hilang selama 11 hari sudah bertukar warna cat daripada putih kepada hitam selepas dilarikan dari sebuah apartmen di Sri Cemerlang, Kota Bharu.

Pemilik kereta itu, Mohd Faizal Mat Saman, 29, berkata kenderaan itu diletakkan di parkir apartmen itu sebelum dilarikan antara 3 hingga 4 pagi pada 13 April lalu.

Katanya, dia mengetahui kehilangan keretanya pada 1.30 tengah hari selepas mendapati ia tiada di kawasan parkir kediaman.

“Ketika kereta hilang, saya tidur di rumah mentua di Tumpat dan terkejut selepas mendapati kereta kesayangan dibawa lari walaupun saya sudah mengunci dengan baik.

“Saya melihat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati pencuri menarik kenderaan saya dengan kereta Proton Wira dimiliki penduduk apartmen itu.

“Selepas membuat laporan polis di Balai Polis Pengkalan Chepa pada hari kejadian, saya terus memuat naik status di laman sosial Facebook bagi meminta bantuan dan menawarkan ganjaran sebanyak RM10,000 pada awalnya sebelum menaikkan kepada RM12,000 bagi orang yang menemuinya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Status dimuat naik itu menjadi tular sebelum kereta itu ditemui penduduk kampung di kawasan semak di Nilam Puri, Kota Bharu, 8.30 malam tadi.

Mohd Faizal yang berniaga sendiri berkata, selepas 11 hari hilang, beberapa bahagian dalam kereta itu sudah tiada termasuk stereng, spoiler dan sistem pemain radio atau audio menyebabkan kerugian RM8,000.

“Seorang lelaki menghubungi saya memaklumkan penemuan kereta itu dan saya memberi ganjaran RM12,000 kepada lelaki itu kerana sudah berjanji.

“Saya bersyukur kereta ditemui walaupun warnanya sudah bertukar daripada putih kepada hitam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes itu masih dalam siasatan. – myMetro

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih