Hajat bersanding tidak kesampaian, rupa-rupanya mereka…

KES suami isteri yang maut dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Desa Vista, Sepang, semalam diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.

Beliau berkata ia berdasarkan laporan awal bedah siasat mangsa wanita mendapati ada kesan kecederaan akibat hentakan benda keras di kepala.

“Berdasarkan keterangan ini dan beberapa keterangan yang diperoleh di tempat kejadian, kes diklasifikasikan semula sebagai bunuh. Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata laporan bedah siasat terhadap mangsa lelaki bagaimanapun belum diperoleh.

Berikutan itu, polis kini masih dalam proses merekod keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan, katanya.

Semalam, Wan Mohd Baharul Nizam Wan Bakar, 35, dan Norwahidah Abdul Hamid, 28, ditemukan mati dalam kebakaran di sebuah rumah teres setingkat di Taman Desa Vista dekat sini.

Kedua-dua mereka adalah penjawat awam yang bertugas di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali dalam kenyataan semalam dilapor berkata pihak bomba terpaksa memecahkan jeriji di pintu utama serta pintu rumah itu yang berkunci dari dalam.

“Anggota bomba yang berjaya masuk ke bilik utama menemui seorang lelaki di dalam tandas bilik utama rumah itu mayat wanita itu ditemui ditemui terbaring di atas tilam dengan kesan terbakar,” katanya.

Jurucakap bomba sebelum ini berkata Norwahidah maut di tempat kejadian manakala suaminya yang menerima rawatan daripada anggota Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) juga gagal diselamatkan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 1.13 tengah hari.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih