Hajat Isteri tidak kesampaian

HAJAT seorang isteri untuk meraikan Aidilfitri bersama suami tidak kesampaian apabila lelaki itu maut dalam kemalangan di Jalan Kampung Badak Mati, Jalan Bukit Marak di Kota Bharu, hari ini.

Lebih menyedihkan mereka baru saja menyambut ulang tahun perkahwinan yang pertama pada 18 Mac lalu.

Dalam kejadian 8.10 pagi itu, pembantu sekolah, Aziz Zakaria, 42, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal Honda EX5 ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar papan tanda di bahu jalan hingga dia tercampak di atas jalan raya.

Ketika kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Keting, Bachok.

Rosliza Yusoff, 41, berkata, dia dan suami sudah membuat pelbagai persiapan termasuk membeli tiga pasang baju raya sedondon untuk dipakai pada Aidilfitri nanti.

“Kami sudah beli pakaian raya warna hijau, biru dan coklat di Nilai, Negeri Sembilan sebelum puasa lagi.

“Kami memang gembira nak beraya bersama kerana tahun ini baru kali kedua kami beraya sebagai suami isteri,” katanya ketika ditemui di Kampung Jejuluk, Banggu.

Rosliza yang bekerja sebagai pembantu pengurusan murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Stan berkata, tiada perubahan ditunjukkan suaminya sebelum kejadian.

“Arwah kelihatan berselera makan sahur dengan menu kegemarannya nasi putih bersama daging goreng dan sup ayam.

“Saya reda dengan kejadian yang dianggap sebagai ujian di bulan Ramadan,” katanya. – myMetro

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih
" admin : ."