‘Hanya keadilan yang tinggal untuk Adib’

Mohd Kassim Abdul Hamid, 63, berkata, Muhammad Adib sudah meninggal dunia dan hanya keadilan sahaja yang tinggal untuk anaknya itu.

“Jangan lindungi sesiapa yang bersalah. Pastikan kematian anak saya terbela.

“Inkues ini benda baik dan ia mampu memberi keadilan kepada Adib, malah kami sememangnya mahukan keadilan untuk Adib.

“Apabila ia dilaksanakan.. ia diharapkan dilakukan secara adil bagi mencari punca dan mereka yang bersalah,” katanya yang dihubungi NSTP hari ini.

NSTP melaporkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa Peguam Negara akan mengarahkan Majistret untuk membuat inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib

“Peguam Negara sudah memaklumkan kepada saya bahawa beliau selaku Pendakwa Raya dalam menjalankan kuasanya di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah akan mengarahkan Majistret untuk membuat siasatan (inkues) di bawah Bab XXXII Kanun yang sama bagi menentukan sebab kematian Allahyarham,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN), selepas 21 hari bertarung nyawa. – myMetro

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih