Inkues Muhamad Adib: ‘Jangan padam, pukul bomba!’

Inkues Muhamad Adib: ‘Jangan padam, pukul bomba!’. SEORANG anggota bomba memberitahu Mahkamah Koroner Shah Alam bahawa dia mendengar orang awam menjerit dan meluru ke arahnya sambil berkata, ‘jangan padam, pukul bomba,’ pada insiden rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November tahun lalu.

Inkues Muhamad Adib: ‘Jangan padam, pukul bomba!’

Mohd Sharol Anuar Kamarudin, 27, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya berkata, dia turut melihat beberapa orang awam bersenjatakan batang besi panjang, objek seperti pedang samurai dan batu-bata.

Dia berkata, ia berlaku selepas dia turun dari jentera Fire Rescue Team (FRT) sebaik kenderaan itu tiba di lokasi bagi memadamkan kebakaran kereta dalam rusuhan berkenaan.

Saksi ketujuh inkues itu berkata, dia sebelum itu menaiki jentera FRT bersama penyelia, Badrul Hisyam Salim dan lima lagi rakannya ke lokasi, selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran di situ pada 1.02 pagi.

Dia yang sudah bertugas selama tiga tahun sebagai anggota bomba berkata, FRT itu diikuti di belakang oleh van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dipandu Ahmad Shahril Othman, 36 dan dinaiki Muhammad Adib Mohd Kassim.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Zhafran Rahim Hamzah pada hari keempat inkues kematian Muhammad Adib.

ZHAFRAN: Jadi, apabila tiba di lokasi. Bagaimana keadaan dan apa yang kamu nampak?

SHAROL: Sampai di lokasi, saya terus buka pintu dan terjun.

ZHAFRAN: Sebelum terjun. Kamu duduk di sebelah kiri (FRT). Boleh nampak, apa di luar?

SHAROL: Pada masa itu, ada kereta banyak ‘parking’.

ZHAFRAN: Apa kamu nampak sebelah kiri belakang kerusi penumpang?

SHAROL: Saya nampak banyak kereta ‘parking’. Ada empat atau lima orang.

ZHAFRAN: Kamu kata kamu terus terjun keluar. Selepas itu?

SHAROL: Saya nampak ada tiga orang meluru ke arah saya.

ZHAFRAN: Ada mereka buat apa- apa?

SHAROL: Saya nampak besi seperti batang besi (palang) jaring takraw. Ada besi panjang macam pedang samurai… panjang.

ZHAFRAN: Apa lagi yang kamu nampak?

SHAROL: Batu- bata lah.

ZHAFRAN: Selain itu, ada orang lain?

SHAROL: Belakang tiga orang, ada orang lain.

ZHAFRAN: Di belakang itu, ada berapa orang?

SHAROL: Tak pasti, tapi ramai. Lebih kurang 100 orang kot.

ZHAFRAN: Apa perasaan kamu?

SHAROL: Tergamam. Kita nak pergi padam api. Saya dengar dia cakap macam ugut.

ZHAFRAN: Ingat tak apa yang dia kata?

SHAROL: Yang saya dengar dia kata, ‘jangan padam, pukul bomba’. Terus saya naik (FRT) balik.

Saksi itu berkata, selepas menaiki FRT, dia mendengar hentaman dari arah depan FRT sebelum cermin hadapan jentera itu pecah.

Katanya, pemandu FRT, Md Elliza Mohd Noor berkata, ini sudah melampau dan Badrul menghubungi Pusat Gerakan Operasi (PGO) dan menyatakan, ‘kami diserang’.

Selepas itu katanya, jentera FRT mengundur sambil ada bunyi hentaman di sebelah kiri dan kanan jentera berkenaan.

“Selepas itu, saya nampak van EMRS dikerumuni orang ramai. Selepas itu, saya tak nampak apa-apa dah,” katanya.

Menjawab satu soalan lain Zhafran, Mohd Sharol berkata, mereka hanya menyedari kehilangan Muhammad Adib, sebaik jentera FRT dan van EMRS, berjaya meninggalkan tempat kejadian.

Katanya, ada seorang anggota lain cuba menghubungi Muhammad Adib menerusi telefon bimbit tetapi panggilan tidak berjawab.

“Call sekali lagi ada orang angkat. Dia kata Adib dihantar ke hospital, (keadaan dia) 50-50),” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota EMRS BBP Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Insitut Jantung Negara (IJN).

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung pagi esok. – myMetro

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih
admin :