‘Insaflah Datuk Seri, pasangan…’

“SAYA harap kejadian ini menginsafkan kamu dan menjadikan kamu insan yang lebih baik. Insaf dan buat taubat nasuha,” kata Hakim Syarie Mat Ropi Busu ketika penghakimannya terhadap seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dan pasangannya.

Riduan Maudin, 40, dari Kelantan dan pasangannya, Nor Faizah Abu Bakar, 32, dari Pahang dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Besut di Jertih, hari ini selepas ditahan berkhalwat di Pulau Perhentian pada bulan lalu.

Mat Ropi menjatuhkan hukuman denda RM2,700 terhadap Riduan manakala pasangannya didenda RM2,500 selepas masing-masing mengaku salah terhadap mengikut Seksyen 31(a) dan 32 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Selain itu, Riduan yang sudah berkahwin dan pasangannya masing-masing turut berdepan hukuman penjara lima dan tiga bulan sekiranya mereka gagal menjelaskan denda. Bagaimanapun, kedua-dua mereka menjelaskan denda berkenaan.

Terdahulu, Mat Ropi dalam penghakimannya berkata, kejadian itu tidak sepatutnya dilakukan kedua-dua tertuduh yang terpelajar.

“Kedua-dua kamu orang terpelajar yang boleh bezakan mana baik dan buruk, mana halal dan haram. Pada bulan Ramadan ini, saya harap kejadian hari ini menginsafkan kamu,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Riduan yang juga Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) didakwa melakukan khalwat bersama pasangannya yang masih bujang di sebuah chalet di Pulau Perhentian pada 5.15 pagi 5 April lalu.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa syariah daerah Besut melakukan serbuan di sebuah bilik di chalet berkenaan sebelum pintu bilik yang diketuk beberapa kali itu dibuka tertuduh lelaki selepas 10 minit.

Pemeriksaan lanjut menemui tertuduh perempuan dan soal siasat mendapati mereka bukan pasangan suami isteri atau mahram.

Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Mohd Khasmizan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum itu, Riduan yang juga seorang pengarah syarikat dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan denda dengan alasan ia kesalahan kali pertamanya dan akan bernikah dengan pasangannya itu pada 16 Ogos depan.

Sementara itu, Nor Faizah yang bekerja sendiri pula merayu mahkamah mengurangkan denda dan tidak menghantarnya ke pusat pemulihan atas alasan sudah insaf dan bertaubat atas kesalahan dilakukan serta masih menjaga ibunya.

Bagaimanapun, Mohd Khasmizan memohon mahkamah mengenakan hukuman berat berikutan kesalahan dilakukan tertuduh adalah perbuatan dirancang dan lokasi kejadian juga jauh daripada orang ramai selain tertuduh mengambil masa lama untuk membuka pintu bilik. – myMetro

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih