Ketua balai polis, pegawai DBKL ditahan `makan’ sogok

KETUA Balai Polis antara 16 individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai terbabit melindungi serta menerima wang sogokan daripada pemilik pusat urut di Kuala Lumpur.

Sumber berkata, semua individu terbabit ditahan di 16 lokasi sekitar Lembah Klang kira-kira jam 10 pagi hingga 5 petang Sabtu lalu, hasil risikan dilakukan sejak tiga bulan lalu.

“Dalam serbuan dilakukan 40 pegawai SPRM itu, tujuh penjawat awam dan sembilan orang awam ditahan selepas dipercayai terbabit melindungi dan menerima wang sogokan daripada pemilik pusat urut.

“Antara ditahan adalah kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pegawai bomba dan penyelamat dan ketua sebuah balai polis.

“Difahamkan premis urutan yang menggunakan khidmat wanita warga asing itu pernah diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Sabtu lalu,” katanya.

Menurutnya, wang sogokan diterima kumpulan suspek terbabit secara bulanan dengan bayaran minimum RM1,000 diterima setiap bulan.

“Malah, difahamkan pemilik premis dipaksa membayar wang sogokan apabila penjawat awam terbabit datang memberi ‘salam perkenalan’ di peringkat awal.

“Wang itu dikatakan sebagai ‘perlindungan premis’ mereka. Ada perantara (orang awam) yang akan mengutip wang berkenaan setiap bulan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu Timbalan Ketua Pesuruhjaya (operasi) SPRM Datuk Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan itu dan memberitahu semua suspek ditahan di SPRM Putrajaya.

“Permohonan reman terhadap semua individu terbabit akan dilakukan esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,” katanya. – myMetro

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih