Mana Nuramisha, Putri Noradriana menghilang?

DUA beradik dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah mereka di Bandar Tasik Kesuma, Hulu Langat, untuk ke sekolah, pagi semalam.

Kehilangan Nuramisha Jessica Abdullah, 16, dan adiknya Putri Noradriana Megat Zulkarnain, 11, disedari ibu mereka, Nurlina Harun, 33, apabila dua beradik itu tidak pulang ke rumah selepas selesai sesi persekolahan, tengah hari semalam.

Bapa mereka, Megat Zulkarnain Mohd Noor, 48, berkata Nuramisha yang juga anak tirinya keluar dari rumah untuk ke sekolah pada 6 pagi bersama Putri Noradriana.

Katanya, bagaimanapun, isterinya menghubunginya pada tengah hari memaklumkan dua beradik itu belum pulang dari sekolah.

“Tambah membimbangkan apabila pemeriksaan di bilik mereka mendapati beg sekolah Putri Noradriana ada di dalam biliknya.

“Kami menunggu hingga 2 petang, namun mereka belum pulang ke rumah. Anak jiran yang juga rakan sekelas dengan Nuramisha memaklumkan dia tidak masuk ke sekolah pagi tadi (semalam).

“Jiran beritahu nampak mereka (dua beradik itu) berdiri berhampiran lokasi menunggu van sekolah pada 6 pagi sebelum kelibat mereka tidak kelihatan beberapa minit kemudian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Megat Zulkarnain berkata, pemeriksaan di bilik mereka mendapati sebahagian daripada baju di dalam almari serta dua tabung duit milik dua beradik itu turut lesap.

Menurutnya, dia dan ahli keluarga lain cuba mengesan lokasi mereka di sekitar pekan Semenyih, namun gagal menemui dua beradik itu.

“Beberapa hari sebelum kehilangan mereka, Nuramisha ada menunjukkan tanda protes selepas berlaku konflik antara saya dengannya kerana menegur perbuatannya.

“Dia mungkin terasa hati dengan perkara itu hingga melarikan diri dari rumah dan membawa adiknya bersama. Saya berharap Nuramisha membawa adiknya pulang semula ke rumah kerana kami bimbang terhadap keselamatan mereka.

“Apa jua masalah sebelum ini boleh dibawa berbincang. Yang penting kedua-duanya balik ke rumah semula dalam keadaan selamat,” katanya yang bekerja sebagai pemandu peribadi.

Megat Zulkarnain memaklumkan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berhubung kejadian itu kira-kira jam 11 malam tadi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung lokasi dua beradik terbabit diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut. – myMetro

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih
" admin : ."