Misteri bangkai paus di Amazon terdampar di darat

BRASILIA 25 Feb. – Seekor anak paus kelasa seberat 10 tan ditemukan tidak bernyawa di hutan Amazon baru-baru ini, jauh daripada habitat asalnya hingga mengakibatkan pakar bingung akan kejadian itu.

Misteri bangkai paus di Amazon terdampar di darat

Mirror.co.uk melaporkan, ma­malia marin berukuran 11 meter panjang itu ditemukan di pulau Marajo di luar pantai Araruna dekat muara sungai Amazon.

Saintis percaya haiwan itu mati di laut dan mungkin terdampar di kawasan hutan ber­kenaan selepas dihanyutkan ombak ke pulau tersebut, jauh daripada habitat asalnya.

Sekumpulan penyiasat dari Jabatan Kesihatan, Sanitasi dan Alam Sekitar (Semma) bergegas ke kawasan berdekatan untuk menyiasat bangkai paus berusia 12 bulan itu.

Pasukan Semma mengumpul maklumat bagi mengetahui bagaimana haiwan marin itu boleh berada di hutan Amazon.

Wakil Semma, Dirlene Silva memberitahu, pihaknya mene­mukan paus jenis kelasa itu setelah mengesan kehadiran burung pemangsa di kawasan ber­kenaan.

“Burung-burung tersebut dikesan terbang menghampiri bangkai paus berkenaan yang ketika itu terdampar di dalam semak, jauh dari laut.

Sementara itu, ahli biologi dari Institut D’agua juga dike­rahkan ke kawasan yang sama untuk mengambil sampel bagi mengetahui punca kematian haiwan berkenaan.

Pakar hidupan marin, Renata Emin berkata, pihaknya belum dapat mengesahkan punca kehadiran paus itu di kawasan tersebut.

“Kehadiran paus kelasa di kawasan perairan utara Brazil sekitar bulan Februari adalah satu situasi yang amat jarang berlaku,” katanya. – AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/misteri-bangkai-paus-di-amazon-1.848663#ixzz5gg5oOzkU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih