Misteri !! Polis pelik tindakan pelancong Finland

ROMPIN 2 Feb. – Tindakan pelancong Finland yang hilang di Pulau Tioman sejak 22 Januari lalu mengelak daripada dirakam kamera litar tertutup (CCTV) ketika berada di pulau peranginan berkenaan menimbulkan tanda tanya dan polis kini menyiasat motif sebenar lelaki tersebut berbuat demikian.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, kali terakhir imej Nikitin Aleksis Elus Valtteri, 20, dirakam CCTV ialah antara pukul 7 pagi dan 8.30 pagi pada 22 Januari lalu ketika dia mela­lui sebuah kawasan penginapan.

“Ketika melalui sebuah resort di Kampung Paya, mang­sa yang memakai baju hitam dan berseluar panjang dilihat cuba menutup CCTV dengan tangannya selepas melalui kawasan itu.

“Polis masih menyiasat punca tindakan itu dan kita juga te­lah menyoal siasat beberapa individu yang berhubung dengan mangsa sebelum dilaporkan hilang bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di Pulau Tioman, di sini hari ini.

Menurut Azli, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilancarkan sejak 26 Januari lalu masih diteruskan, namun bila­ngan anggota yang terlibat telah dikurangkan selepas tiada petunjuk baharu selain mengambil masa yang agak lama.

Sementara itu, Ketua Zon Satu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Arifin Kamar berkata antara cabaran yang terpaksa ditempuh oleh pasukan SAR sepanjang operasi ialah bentuk muka bumi yang berbukit bukau.

“Operasi telah mencakupi kawasan seluas 10 kilometer persegi dari kawasan mangsa dilihat kali terakhir di Kampung Paya, termasuk kawasan hutan, bukit, pantai dan paya Kampung Tekek, hingga kawasan santuari penyu.

“Ada satu ketika tiga ekor anjing pengesan yang digunakan dalam operasi ini berjaya mengesan bau mangsa di Kampung Bunut, namun kemudian hanya berpusing-pusing di kawasan yang sama,” katanya.

Valtteri tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu dan memasuki Pulau Tioman pada 21 Januari sebelum dilaporkan hilang sehari selepas itu.

Operasi pencarian telah dilakukan sejak 26 Januari lalu oleh 68 anggota dan pegawai JBPM, polis, Pasukan Gerakan Am serta Angkatan Pertahanan Awam dengan dibantu tiga ekor anjing pengesan. – BERNAMA

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih