Pasar raya di Negeri Sembilan bebas jual ayam tanpa sijil halal

SEREMBAN 24 April – Pengusaha pasar raya di negeri ini bebas mendapatkan bekalan ayam mentah dari mana-mana rumah sembelihan sama ada yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) atau sebaliknya.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ini berikutan dasar pensijilan halal yang bersifat terbuka dan sukarela.

“Terdapat dua kaedah pejualan ayam di pasar raya besar iaitu penjualan tanpa pembungkusan dan dengan pembungkusan. Ayam yang dalam pembungkusan boleh dikenal pasti melalui logo halal yang tertera dan boleh disemak kesahihannya melalui www.halal.gov.my.

“Bagi yang tiada, maka status halal ayam tersebut adalah di luar pengetahuan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

“Oleh kerana itu JHEAINS sering menasihatkan pengguna supaya membeli ayam yang dibungkus oleh pembekal yang telah mendapat SPHM,” katanya ketika menjawab soalan Suhaimi Kassim (Amanah-Lenggeng) dalam Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14, di sini hari ini.

Suhaimi membangkitkan kebimbangan orang ramai berhubung status halal dan kebersihan ayam segar di pasar raya-pasar raya di negeri ini serta penguatkuasaan yang dijalankan.

Mengulas lanjut, Aminuddin (PKR-Sikamat) berkata, penguatkuasaan dan pemantauan akan dijalankan hanya sekiranya terdapat aduan daripada orang ramai berkaitan keraguan dan penyalahgunaan tanda halal.

“Sekiranya didapati berlaku penipuan atau salah guna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan menyiasat perkara tersebut. Jika sabit kesalahan pihak terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih