Pencemaran toksik, ini kata-kata Sultan Johor

JOHOR BAHRU 12 Mac – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka dan kesal terhadap mereka yang didapati terlibat dalam kes pembuangan bahan toksik ke dalam Sungai Kim Kim di Pasir Gudang sehingga memberi kesan buruk kepada pelajar sekolah serta orang awam.

Pencemaran toksik, ini kata-kata Sultan Johor

Sehubungan itu, baginda bertitah mahu pihak berkuasa melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap insiden itu sekali gus menggesa semua pihak berkuasa kerajaan untuk segera menangkap dan menghukum pelakunya.

Pada masa sama, Sultan Ibrahim turut melahirkan penghargaan terhadap pasukan perubatan yang bertungkus-lumus memberikan rawatan kepada mereka yang dimasukan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

“Disebabkan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab, ratusan orang termasuk murid serta pelajar sekolah terpaksa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan. Malah ada yang bertarung nyawa dalam ICU!

“Saya berasa amat sedih apabila melihat ramai yang merana akibat tindakan mereka yang tidak berperikemanusiaan. Bukan sahaja kanak-kanak tetapi juga orang dewasa yang hanya melakukan tugas – seperti pemandu ambulans, pekerja kantin sekolah.

“Ini adalah rakyat saya dan saya tidak akan membenarkan perkara ini melarat,” titah baginda menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di sini sebentar tadi.

Baginda bertitah menasihatkan orang ramai khususnya penduduk di sekitar kawasan kejadian supaya sentiasa berhati-hati dan segera mendapatkan rawatan jika berasa kurang sihat.

Titah Sultan Ibrahim, sekolah juga tidak harus dibuka selagi keadaan tidak benar-benar selamat untuk pelajar dan guru, pada masa sama, kurangkan seberapa banyak pergerakan di luar. – UTUSAN ONLINE

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih