Susulan tragedi masjid Christchurch, Terkejut anak cedera

Susulan tragedi masjid Christchurch, Terkejut anak cedera. “SAYA sedih dan terkejut selepas menerima panggilan menantu namun berharap anak dalam keadaan selamat,” kata Rokiah Mohammad, 65.

Susulan tragedi masjid Christchurch, Terkejut anak cedera

Dia adalah ibu kepada Rahimi Ahmad, yang menjadi mangsa tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand, hari ini.

Menurut Rokiah, dia menerima panggilan daripada menantunya Norazila Wahid, 39, pada jam 2 petang yang memberitahu Rahimi menjadi mangsa kejadian.

“Bagaimanapun, menantu memberitahu yang anak lelaki saya selamat dan hanya mengalami kecederaan.

“Namun, sebagai ibu saya mahu melihat sendiri keadaan anak kerana sehingga kini Rahimi dilaporkan masih menerima rawatan,” katanya yang ditemui di Kampung Binjai, di Bayan Lepas.

Menurutnya, menantunya itu ada menghubunginya semalam dan memberitahu berita gembira kerana dia lulus dalam ujian di kolej perubatan tempat dia belajar.

“Semalam, menantu beritahu berita gembira namun hari ini pula saya mendapat berita sedih daripadanya.

“Kalau ada orang sudi bawa saya ke sana memang saya nak sangat kerana mahu melihat sendiri keadaan anak,” katanya.

Menurutnya, Rahimi sekeluarga sudah lebih empat tahun tinggal di New Zealand dan sejak tinggal di sana mereka baru dua kali pulang keMalaysia.

“Dua hari lepas Rahimi ada hubungi saya dan bertanya sama ada mahu membaiki rumah di kampung selain bertanyakan khabar adik-adiknya.

“Rahimi juga memberitahu yang dia akan pulang bersama anak dan isteri Ramadan ini dan saya harap semua orang berdoa kesejahteraan anak saya,” katanya.

Rahimi bekerja sebagai seorang juruteknik di sebuah kilang susu di New Zealand, manakala isterinya pula menuntut di sebuah kolej perubatan. – myMetro

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih