Tangisan dua sahabat ke tali gantung

Tangisan dua sahabat ke tali gantung. Keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru, hari ini yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati diterima penuh emosi oleh dua sahabat selepas didapati bersalah mengedar methamphetamine seberat 5.49 kilogram dua tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Taza Tarji, 23, dan Herman, 34, yang dari awalnya menundukkan kepala kemudian dilihat menangis di samping ahli keluarga dan saudara mara yang hadir pada prosiding itu.

Tangisan dua sahabat ke tali gantung

Kedua-dua mereka terus beremosi apabila melihat kumpulan pengamal media yang bertugas merakamkan wajah mereka sebaik dibawa keluar dari mahkamah.

Herman yang juga warga Indonesia dilihat beberapa kali cuba menendang jurugambar, manakala Taza, warga tempatan cuba melindungi wajahnya daripada dirakam.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman itu terhadap kedua-dua tertuduh selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan gagal menyangkal anggapan pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Taza yang bekerja sebagai pelayan dan Herman, seorang pekerja kontrak didakwa mengedar dadah berbahaya itu di atas sampan fiber berwarna merah biru di kira-kira 1.1 batu nautika dari perairan Tanjung Piai, Pontian pada 4.15 petang, 27 September 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Iffa Zarilla Abd Rahman yang mengemukakan enam saksi sepanjang prosiding perbicaraan yang bermula 23 Julai 2017.

Taza diwakili peguam Lydiana Mansor, manakala Herman diwakili peguam Azrul Sani dengan empat saksi pembelaan dipanggil pada prosiding bela diri.

Mengikut fakta kes, pemeriksaan yang dilakukan dalam sampan yang digunakan kedua-dua tertuduh menjumpai satu beg celoreng yang diletakkan di haluan sampan.

Beg berkenaan didapati berisi bungkusan makanan dan minuman segera, namun dipercayai dibungkus semula selain bungkusan surat khabar dan plastik lutsinar yang berisi serbuk kristal disyaki dadah.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih
admin :