Tiga termasuk anggota polis ‘terkulai’ kemalangan dalam ribut

Tiga termasuk anggota polis ‘terkulai’ kemalangan dalam ribut. SUAMI isteri dan anggota polis maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan ketika ribut di Bukit Chabang, Padang Besar, semalam. Dalam kejadian jam 9.30 malam, mangsa Hafiz Johari, 30-an, dan isteri Siti Asmah Abdul Khalid, 27, menaiki Nissan Murano, manakala Konstabel Muhammad Amirul Naim Aziz, 24, memandu Perodua Kancil.

Tiga termasuk anggota polis ‘terkulai’ kemalangan dalam ribut

Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, semasa kejadian anggotanya dalam perjalanan pulang dari rumah mentuanya di Padang Besar menuju ke Seriab.

“Mangsa turut membawa isteri dan dua anak perempuannya, bagaimanapun mereka terselamat dalam nahas itu.

“Isteri dan dua anak mangsa sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan difahamkan anak sulung arwah dalam keadaan kritikal,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HTF, pagi hari ini.

ANGGOTA polis membawa mayat mangsa kemalangan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar. FOTO Azhar Ramli
Sementara itu, Siti Asmah yang sarat mengandung dijangka melahirkan anak keduanya, hari ini.

Ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian anak perempuan pasangan terbabit turut berada di dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) itu, bagaimanapun terselamat.

“Doktor cuba menyelamatkan anak dalam kandungannya (Siti Asmah), namun gagal,” katanya.

AHLI keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, hari ini. FOTO Azhar Ramli
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintendan Muhammad Halim Yatim ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

“Kejadian berlaku ketika dalam hujan lebat dan kita masih lagi menyiasat bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Ketiga-tiga mayat akan dibedah siasat jam 8.30 pagi ini,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – myMetro

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih