[UPDATE] Pukul bapa hingga mati

“ADIK sangat sayangkan anak- anak dan ahli keluarganya. Pada pagi kelmarin saya memang melawat dia di rumah dan dia kurang sihat.

“Saya mengajaknya ke hospital atau klinik namun dia menolak dan memberitahu sudah ke klinik,” kata R Ramesh Kumar, 73.

Ramesh adalah abang R Pardeep Kumar, 56, yang meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam selepas ditemui pengsan dipercayai dipukul dua anaknya.

Ramesh berkata, dia pergi ke rumah adiknya bersama anak dan cucu jam 11 pagi sebelum membunyikan hon di depan rumah berkenaan namun tidak ada siapa yang keluar.

“Kami kemudian ke kedai permaidani adik dan mendapati kedainya tutup dan kemudian kami berpatah balik ke rumahnya dan membunyikan hon sebelum anak ketiga mangsa (suspek) keluar.

“Saya masuk dan menemui adik, dia beritahu tidak larat dan letih serta tidak dapat bangun. Saya tidak mahu terlalu memaksanya ke klinik kerana dia bersungguh-sungguh tidak mahu ke klinik atau hospital atas alasan sudah ada ubat,” katanya.

Ramesh yang terkejut dengan kejadian itu terkilan kerana sepatutnya mereka sama-sama meraikan hari jadinya semalam.

Dia berkata, adiknya mempunyai empat anak dan yang ditahan polis adalah anak ketiga serta keempat manakala isterinya berada di Johor Bahru.

Kesan cedera di kepala mangsa

Hanya mahukan harta, dua anak lelaki dipercayai sanggup memukul bapa sendiri sehingga mati di rumah mereka di Taman Bercham Sinar di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam, mangsa R Pardeep Kumar, 56, meninggal dunia kelmarin ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mazuki Mat berkata, mangsa dibawa ke HRPB oleh ambulans selepas didapati pengsan di rumahnya sebelum menerima rawatan kecemasan di hospital berkenaan.

“Pemeriksaan doktor mendapati terdapat kesan cedera di kepala mangsa akibat hentakan. Seorang daripada anak mangsa membuat laporan mengesyaki dua adiknya berusia 20 dan 21 tahun memukul bapanya sehingga pengsan.

“Siasatan awal setakat ini mendapati punca kerana mahukan harta.

“Pengadu yang juga abang kedua-dua suspek memberitahu, bapanya pernah mengadu dipukul dua suspek itu serta wang simpanannya diambil,” katanya.

Mazuki berkata, abang dua suspek itu tidak tinggal bersama bapa mereka dan hanya mengetahui bapanya dibawa ke HRPB akibat pengsan daripada adik perempuannya.

Menurutnya, mayat mangsa dibedah siasat semalam bagi mengetahui punca sebenar kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. – myMetro

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih
" admin : ."