Wanita lemas tergelincir selepas mandi

SEORANG wanita ditemui lemas selepas tergelincir ketika mandi di ‘Blue Pool’ Gunung Sarut, berhampiran Lata Payung, Sungai Tong, Setiu, hari ini.

Sebelum kejadian, mangsa, Suria Awi, 46, yang beralamat di Panji Alam, Kuala Terengganu bersama 15 lagi rakan terdiri daripada 10 perempuan dan lima lelaki mendaki Gunung Sarut sekitar 8 pagi melalui kawasan Air Terjun Lata Payung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Mustafa Ismail berkata, kumpulan itu mandi di kawasan berkenaan sebelum mula bersiap untuk pulang pada 11.40 pagi.

Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa yang baru selesai mandi mahu naik untuk bersiap pulang, tetapi tergelincir sebelum terjatuh ke dalam air dan lemas.

“Kami menerima panggilan pada 12.06 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi bersama lapan anggota serta seorang pegawai perubatan.

“Sewaktu tiba di lokasi mangsa sudah dalam perjalanan dibawa turun beberapa rakannya dan mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut bersama kami.

“Anggota bomba kemudian mengusung mayat mangsa untuk dibawa turun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mustafa berkata, jarak antara ‘Blue Pool’ ke Lata Payung mengambil masa kira-kira satu jam perjalanan dengan mendaki melalui laluan hutan.

Beliau berkata, operasi mengambil masa satu jam 15 minit kerana hujan lebat, permukaan jalan licin serta sempit, sekali gus menyukarkan kerja membawa mayat mangsa turun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris ketika dihubungi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Setiu untuk bedah siasat. – myMetro

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih