Warga asing terus ‘tawan’ pasar borong

MASALAH kebanjiran warga asing di pasar borong bukanlah isu baharu, namun ramai yang tidak menyedari golongan itu kini sudah mula menguasai pasaran di pasar berkenaan.

Warga asing terus ‘tawan’ pasar borong

Lebih mengejutkan, golongan terbabit bukan sahaja menjadi pekerja malah ada dalam kelompok mereka sudah bergelar tauke dengan menyewa lot daripada peniaga tempatan yang mengalibabakan tapak dan lesen perniagaan masing-masing.

Namun, apa yang membimbangkan, keadaan itu mendatangkan pelbagai impak khususnya kepada peniaga tempatan lain, pengguna selain petani, penternak dan nelayan.

Ikuti bahagian pertama laporan khas oleh wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD ATHIR ISMAIL, ZULHILMI ZAINAL dan HADI AB. MANAP berhubung situasi terbabit yang semakin tidak terkawal meskipun pelbagai usaha digerakkan pihak berkuasa bagi menangani masalah tersebut.

KUALA LUMPUR 2 Mac – Ibarat mencurah air ke daun keladi. Itulah per­umpamaan paling sesuai bagi menggambarkan kemelut di pasar borong besar sekitar Lembah Klang yang terus didominasi warga asing sejak sekian lama.

Malah isu yang bagaikan tiada penghujungnya itu kian bertambah kronik apabila warga asing bukan sahaja bekerja bahkan kini ramai sudah bergelar tauke dengan berniaga menerusi tapak yang dialibabakan oleh peniaga tempatan sendiri.

Persoalannya, mengapa keadaan tersebut kian dilihat tidak terkawal sedangkan proses bagi mendapatkan kebenaran dan lot berniaga di pasar berkenaan perlu melalui prosedur ketat termasuk ditemu duga selain gerakan aktiviti penguatkuasaan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Ini terbukti apabila tinjauan Mingguan Malaysia di tiga pasar borong utama membabitkan Pasar Borong Kuala Lumpur, Pasar Borong Selangor dan Kompleks Pasar Besar Jalan Meru, Klang mendapati proses pemutihan dijalankan pihak berwajib bagaikan tiada kesan, namun lebih menyedihkan bilangan penjaja tempatan yang berniaga boleh dikira dengan jari.

Apa yang pasti, boleh dikatakan majoriti membabitkan pekerja bawahan yang ditugaskan mengangkat bakul sayuran dan tong ikan sehinggalah kepada penyelia serta tauke semua­nya terdiri dalam kalangan warga asing membabitkan rakyat Bangladesh, Vietnam, Nepal, Myanmar termasuk etnik Rohingya.

Hasil penelitian, lebih 90 peratus pekerja termasuk tauke di tiga pasar borong besar berkenaan terdiri daripada warga asing.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, keadaan itu pasti mengejutkan sesiapa sahaja yang jarang berkunjung ke pasar berkenaan, kerana persekitarannya seolah-olah seperti berada di luar negara.

Akar masalah tersebut adalah disebabkan oleh sikap segelintir warga tempatan sendiri yang mementingkan diri demi me­ngaut keuntungan mudah de­ngan menyewakan tapak kepada warga asing.

Namun ramai tidak menye­dari bahawa tindakan itu sebenarnya membawa impak serta kesan amat buruk khususnya dalam jangka masa panjang terhadap rantaian sosio-ekonomi peniaga tempatan.

Bayangkan nasib peniaga tempatan lain yang benar-benar mahu berniaga sekali gus me­ranapkan industri rantaian makanan asas negara.

Tidak mustahil, tauke warga asing tersebut akan menjadi ‘bos besar’ yang mampu menjadi penentu kepada naik turun harga makanan dan bahan mentah yang menjadi keperluan orang ramai memandangkan mereka mula menguasai pasaran tersebut.

Apapun secara jelas, pelbagai masalah lain turut timbul dan meresahkan banyak pihak membabitkan isu berkenaan termasuk aspek kebersihan dan keselamatan berikutan pasar berkenaan kini turut dipenuhi pendatang asing tanpa izin (PATI). – Utusan

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih